“Sesiapa yang meringankan satu kesusahan seorang mukmin daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan meringankan daripadanya satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan pada hari kiamat

“Sesiapa yang meringankan satu kesusahan seorang mukmin daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan meringankan daripadanya satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan pada hari kiamat

Daripada Abū Hurayrah رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Sesiapa yang meringankan satu kesusahan seorang mukmin daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan meringankan daripadanya satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesusahan, Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat. Allah sentiasa membantu hamba-Nya selagi hamba itu membantu saudaranya. Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga. Tidaklah satu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah (masjid) untuk membaca Kitab Allah dan mempelajarinya bersama-sama melainkan akan diturunkan kepada mereka ketenangan, diliputi oleh rahmat, dikelilingi oleh para malaikat, dan Allah menyebut mereka dalam kalangan makhluk yang ada di sisi-Nya. Dan sesiapa yang amalnya melambatkannya, nasabnya tidak akan mempercepatkannya.”

الشرح

Nabi صلى الله عليه وسلم menjelaskan bahawa ganjaran seorang Muslim di sisi Allah adalah sejenis dengan apa yang dia lakukan terhadap sesama Muslim. Maka sesiapa yang meringankan, melepaskan, menghilangkan dan melenyapkan kesusahan serta kesempitan seorang mukmin daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan membalasnya dengan meringankan baginya satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan orang yang kesempitan, memberi kelapangan kepadanya, dan menghilangkan kesukarannya, Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, umpamanya jika dia mengetahui kesilapan dan kekhilafan yang tidak patut didedahkan daripadanya, Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat. Allah sentiasa menolong hamba-Nya selagi hamba itu menolong saudaranya dalam urusan agama dan dunianya. Bantuan itu boleh diberikan melalui doa, tenaga, harta dan lain-lain. Sesiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu syariat dengan niat mengharap keredaan Allah Taala, Allah akan memudahkan baginya jalan menuju ke syurga. Tidaklah satu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah, membaca Kitab Allah dan mempelajarinya bersama-sama, melainkan akan diturunkan kepada mereka ketenangan dan kedamaian, diliputi dan diselubungi rahmat Allah, dikelilingi oleh para malaikat dan Allah memuji mereka dalam kalangan makhluk yang dekat dengan-Nya. Cukuplah sebagai satu kemuliaan apabila Allah menyebut nama hamba-Nya dalam kalangan penduduk langit. Sesiapa yang amalannya kurang, yang tidak melayakkannya untuk mencapai kedudukan orang-orang yang banyak beramal, dia tidak patut bergantung kepada kemuliaan nasab dan keutamaan bapanya sambil mengambil ringan akan amalannya sendiri.

فوائد الحديث

Ibn Daqīq al-ʿĪd berkata: “Ini merupakan hadis yang agung, yang merangkumi pelbagai jenis ilmu, kaedah dan adab. Di dalamnya terkandung keutamaan melunaskan keperluan umat Islam dan memberi manfaat kepada mereka dengan apa yang termampu, sama ada melalui ilmu, harta, pertolongan, panduan kepada kebaikan, nasihat atau lain-lain.”

Galakan untuk memudahkan orang yang dalam kesusahan.

Galakan untuk menolong hamba Muslim, dan bahawa Allah Taala akan menolong orang yang menolong saudaranya mengikut kadar bantuannya.

Antara bentuk menutup aib seorang Muslim ialah dengan tidak mencari-cari aibnya. Diriwayatkan daripada sebahagian salaf bahawa mereka berkata: “Aku menemui satu kaum yang tiada cacat cela pada mereka, lalu mereka menyebut cacat cela orang lain, maka orang lain pun menyebut cacat cela mereka. Dan aku menemui satu kaum yang mempunyai cacat cela, tetapi mereka menahan diri daripada menyebut cacat cela orang lain, maka cacat cela mereka dilupakan.”

Menutup aib manusia tidak bermaksud meninggalkan kemungkaran dan tidak mengubahnya, tetapi boleh diubah sambil tetap menutup aib. Hal ini berlaku bagi orang yang tidak dikenali dengan kefasikan dan keterlaluan dalam kezaliman. Adapun bagi orang yang dikenali dengan perkara tersebut, tidak disunatkan menutup aibnya, bahkan perkara itu harus diserahkan kepada pihak yang berkuasa, selagi tidak timbul keburukan daripadanya. Hal ini kerana menutup aibnya akan mendorongnya kepada kefasikan, berani menzalimi manusia dan mendorong orang lain yang jahat dan degil berbuat demikian.

Galakan untuk menuntut ilmu, membaca al-Quran, dan mempelajarinya bersama-sama.

Al-Nawawī berkata: “Di dalam ini terdapat dalil tentang keutamaan berkumpul untuk membaca al-Quran di masjid… Dan termasuk juga di masjid dalam memperoleh keutamaan ini ialah berkumpul di madrasah, ribāṭ, dan tempat-tempat seumpamanya, insyaAllah تعالى.”

Pahala hanya ditentukan oleh Allah berdasarkan amalan, bukan berdasarkan keturunan.