Jadilah engkau di dunia seperti orang asing atau seorang pengembara

Jadilah engkau di dunia seperti orang asing atau seorang pengembara

Daripada ʿAbdullāh bin ʿUmar رضي الله عنهما, beliau berkata: Rasulullah ﷺ memegang bahuku, lalu baginda bersabda: "Jadilah engkau di dunia seperti orang asing atau seorang pengembara." Ibn ʿUmar رضي الله عنهما berkata: "Apabila engkau berada pada waktu petang maka janganlah menunggu waktu pagi, dan apabila engkau berada pada waktu pagi maka janganlah menunggu waktu petang. Ambillah (manfaat) daripada masa sihatmu untuk (persiapan menghadapi) sakitmu dan daripada hidupmu untuk (persiapan menghadapi) matimu."

الشرح

Ibn ʿUmar رضي الله عنهما menyebutkan bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم memegang bahunya – iaitu (tulang) pertemuan antara lengan atas dan bahu – lalu bersabda kepadanya: Jadilah engkau di dunia seperti seorang asing yang datang ke sebuah negeri tanpa rumah untuk berteduh dan tanpa teman yang menghiburnya, tiada keluarga, anak-anak, dan segala keterikatan yang menjadi sebab lalai daripada Sang Pencipta. Bahkan jadilah engkau lebih daripada itu, iaitu seperti seorang pengembara yang hanya melewati jalan untuk menuju kampung halamannya. Seorang asing mungkin menetap di negeri asing dan tinggal di situ, sedangkan seorang pengembara yang menuju suatu negeri, sifatnya ringan beban dan tidak berhenti, serta bersungguh-sungguh mencapai destinasinya. Maka sebagaimana seorang musafir tidak memerlukan lebih daripada apa yang membantunya sampai ke tujuan perjalanannya, demikian pula seorang mukmin di dunia tidak memerlukan lebih daripada apa yang dapat membawanya sampai ke tempat kembali (akhirat).” Maka Ibn ʿUmar رضي الله عنهما mengamalkan nasihat ini dan beliau berkata: “Apabila engkau berada pada waktu pagi, janganlah menunggu waktu petang, dan apabila engkau berada pada waktu petang, janganlah menunggu waktu pagi. Anggaplah dirimu termasuk dalam kalangan penghuni kubur, kerana sesungguhnya umur itu tidak terlepas daripada sihat dan sakit. Maka segeralah pada hari-hari sihatmu dengan ketaatan sebagai persediaan untuk sakitmu dan rebutlah amalan-amalan soleh ketika sihat sebelum sakit menghalangmu daripadanya. Manfaatkanlah hidupmu di dunia ini, lalu kumpulkanlah padanya apa yang memberi manfaat kepadamu selepas kematianmu.

فوائد الحديث

Guru meletakkan tapak tangannya di atas bahu murid ketika mengajar sebagai tanda mesra dan untuk memberi peringatan.

Memulakan pemberian nasihat dan bimbingan kepada orang yang tidak memintanya.

Keindahan cara pengajaran Nabi صلى الله عليه وسلم dengan memberikan perumpamaan yang meyakinkan melalui sabdanya: “Hiduplah di dunia ini seakan-akan engkau seorang asing atau seorang pengembara.”

Perbezaan manusia dalam perjalanan mereka menuju akhirat. Kedudukan seorang pengembara adalah lebih tinggi dalam sifat zuhud berbanding kedudukan seorang asing.

Penjelasan tentang pendeknya angan-angan dan persiapan menghadapi kematian.

Hadis ini tidak menunjukkan kepada meninggalkan rezeki dan pengharaman kenikmatan dunia, tetapi ia menunjukkan galakan untuk bersikap zuhud terhadapnya dan mengambil sekadar yang perlu.

Bergegaslah melakukan amalan-amalan soleh sebelum tidak mampu melakukannya, dan sebelum dihalangi oleh sakit atau kematian.

Keutamaan ʿAbdullāh bin ʿUmar رضي الله عنهما kerana beliau terkesan dengan nasihat daripada Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Tanah air bagi orang-orang beriman ialah syurga kerana dia adalah orang asing di dunia ini dan dia adalah seorang musafir menuju negeri akhirat. Oleh itu, dia tidak mengaitkan hatinya dengan sesuatu pun daripada negeri asing ini, bahkan hatinya terikat dengan tanah airnya yang akan dia kembali kepadanya. Kehidupannya di dunia hanyalah untuk memenuhi keperluannya dan mempersiapkan bekalan untuk pulang ke tanah airnya.