“Janganlah kamu saling iri hati, saling menipu, saling membenci, saling berpaling, dan janganlah ada antara kamu menjual sesuatu atas jualan orang lain. Jadilah hamba Allah yang bersaudara

“Janganlah kamu saling iri hati, saling menipu, saling membenci, saling berpaling, dan janganlah ada antara kamu menjual sesuatu atas jualan orang lain. Jadilah hamba Allah yang bersaudara

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Janganlah kamu saling iri hati, saling menipu, saling membenci, saling berpaling, dan janganlah ada antara kamu menjual sesuatu atas jualan orang lain. Jadilah hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim itu adalah saudara bagi Muslim yang lain, dia tidak menzaliminya, tidak meninggalkannya, dan tidak merendahkannya. Taqwa berada di sini,” sambil baginda menunjukkan ke dadanya sebanyak tiga kali. “Cukuplah bagi seseorang dianggap jahat apabila dia merendahkan saudaranya yang Muslim. Setiap Muslim adalah haram terhadap Muslim yang lain sama ada darahnya, hartanya dan maruahnya.”

الشرح

Nabi صلى الله عليه وسلم mewasiatkan kepada seorang Muslim agar berbuat baik kepada saudaranya sesama Muslim, dan baginda menjelaskan sebahagian daripada kewajipan dan adab yang harus dilaksanakan terhadap mereka, antaranya: Wasiat yang pertama: Jangan saling hasad dengki sehingga wujud antara kamu mengharapkan hilangnya nikmat orang lain. Wasiat yang kedua: Jangan saling menipu dalam tawar-menawar sehingga seseorang menaikkan harga barang sedangkan dia tidak berniat untuk membelinya. Sebaliknya hanya mahu menguntungkan penjual atau merugikan pembeli. Wasiat yang ketiga: Jangan saling membenci, iaitu menghendaki kemudaratan orang lain, kerana ia bertentangan dengan kasih sayang; kecuali jika kebencian itu kerana Allah تعالى, maka ia adalah wajib. Wasiat yang keempat: Jangan saling berpaling belakang, iaitu supaya seorang daripada kamu tidak memalingkan belakangnya daripada saudaranya dan menjauhkan diri daripadanya. Wasiat yang kelima: Jangan ada antara kamu menjual sesuatu atas jualan orang lain dengan mengatakan kepada pembeli: “Saya ada yang serupa dengan harga lebih rendah atau lebih baik dengan harga itu.” Kemudian Baginda صلى الله عليه وسلم mewasiatkan dengan wasiat yang holistik, seraya bersabda: “Dan jadilah kamu seperti saudara dengan meninggalkan perkara-perkara yang telah disebut sebagai larangan, serta menzahirkan kasih sayang, kelembutan, belas kasihan, lemah lembut, dan kerjasama dalam kebaikan, disertai hati yang tulus dan memberi nasihat dalam setiap keadaan.” Antara tuntutan persaudaraan ini ialah: Seorang muslim tidak menzalimi dan tidak menindas saudaranya yang muslim. Seorang muslim tidak membiarkan saudaranya dizalimi lalu meninggalkannya dalam keadaan lemah, padahal dia mampu menolong serta menghapuskan kezaliman terhadapnya. Dia tidak merendahkannya, memandang rendah atau memandangnya dengan pandangan hina dan ejekan kerana sikap ini berpunca daripada kesombongan di dalam hati. Kemudian Nabi صلى الله عليه وسلم menegaskan sebanyak tiga kali bahawa takwa itu berada di dalam hati. Sesiapa yang hatinya memiliki takwa yang menuntut akhlak yang baik, takut kepada Allah dan sentiasa memerhatikan-Nya, maka dia tidak akan merendahkan seorang muslim. Ini sudah memadai untuk menangkis sifat jahat dan kejahatan akhlak berupa merendahkan saudaranya sesama muslim, kerana perbuatan itu berpunca daripada kesombongan di dalam hati. Kemudian Nabi صلى الله عليه وسلم menegaskan lagi bahawa seluruh diri seorang Muslim adalah haram ke atas Muslim yang lain, darahnya, iaitu tidak boleh dizalimi dengan dibunuh atau selainnya seperti dilukai, dipukul dan seumpamanya; begitu juga hartanya, tidak boleh diambil tanpa hak; serta maruahnya, tidak boleh dicela sama ada pada dirinya atau keturunannya.

فوائد الحديث

Perintah untuk melaksanakan segala yang dituntut oleh persaudaraan iman, dan larangan daripada segala yang bertentangan dengannya sama ada dalam ucapan mahupun perbuatan.

Inti asas takwa ialah apa yang wujud di dalam hati berupa mengenali Allah, rasa takut kepada-Nya, dan pengawasan terhadap-Nya. Ketakwaan ini melahirkan amalan-amalan soleh.

Penyimpangan yang nyata menunjukkan lemahnya takwa di hati.

Larangan daripada menyakiti seorang muslim dengan apa jua cara sama ada melalui perkataan atau perbuatan.

Tidak termasuk dalam hasad apabila seorang muslim berkeinginan untuk menjadi seperti orang lain tanpa menginginkan nikmat itu hilang daripada orang tersebut. Hal ini dinamakan ghibṭah; ia dibolehkan dan mendorong kepada berlumba-lumba dalam kebaikan.

Manusia secara fitrahnya tidak suka jika ada orang lain yang melebihinya dalam sesuatu keutamaan. Jika dia suka agar kelebihan itu hilang daripada orang tersebut, itulah hasad yang tercela. Namun jika dia hanya ingin berlumba-lumba dalam kebaikan, maka itu dinamakan ghibṭah yang dibolehkan.

Tidak termasuk dalam larangan “menjual atas jualan saudaranya” jika seorang muslim menjelaskan kepada pembeli bahawa dia telah tertipu dengan penipuan yang besar dalam pembeliannya. Hal ini adalah sebahagian daripada tuntutan memberi nasihat, dengan syarat niatnya adalah untuk menasihati saudaranya yang membeli, bukan untuk memudaratkan penjual. Sesungguhnya segala amalan bergantung kepada niat.

Tidak termasuk dalam larangan “menjual atas jualan saudaranya” jika kedua-dua pihak penjual dan pembeli belum saling meredai dan harga barang tersebut belum dimuktamadkan.

Tidak termasuk dalam larangan “saling membenci” yang disebut dalam hadis ialah kebencian kerana Allah. Ia wajib dan merupakan salah satu ikatan iman yang paling kukuh.