“Antara (tanda) bagusnya Islam seseorang itu adalah dia meninggalkan perkara yang tidak berfaedah buat dirinya.”

“Antara (tanda) bagusnya Islam seseorang itu adalah dia meninggalkan perkara yang tidak berfaedah buat dirinya.”

Daripada Abu Hurayrah رضي الله عنه, beliau berkata bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Antara (tanda) bagusnya Islam seseorang itu adalah dia meninggalkan perkara yang tidak berfaedah buat dirinya.”

الشرح

Nabi ﷺ menerangkan bahawa sebahagian daripada (tanda) kesempurnaan baiknya Islam seseorang Muslim dan keutuhan imannya ialah dia menjauhi perkara yang tidak bererti buatnya, tidak berkaitan dengannya, tidak penting baginya, dan tidak memberi manfaat kepadanya, sama ada dalam perkataan, perbuatan, atau hal-hal yang tidak berkaitan dengannya dari segi keagamaan mahupun keduniaan. Seseorang insan yang menyibukkan diri dalam perkara yang bukan urusannya mungkin akan menyibukkannya daripada perkara yang sepatutnya diutamakan atau membawa kepada perkara yang wajib dijauhinya. Setiap manusia akan dipertanggungjawabkan atas amalannya pada hari kiamat.

فوائد الحديث

Manusia berbeza-beza dalam tahap keislaman mereka, dan kesempurnaan Islam seseorang bertambah dengan amalan-amalan tertentu.

Menjauhi perkataan dan perbuatan yang sia-sia atau remeh adalah petunjuk kepada kesempurnaan Islam seseorang.

Galakan untuk sibuk dengan perkara yang berkaitan dengan kebaikan agama dan dunianya sendiri. Jika sebahagian daripada kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan apa yang tidak berkaitan dengannya, maka sebahagian kebaikannya juga ialah sibuk dengan perkara yang benar-benar berkaitan dengannya.

Ibnu al-Qayyim رحمه الله berkata: Nabi ﷺ telah merangkum seluruh konsep wara’ (sikap berhati-hati dan menjauhi yang haram) dalam satu ayat sahaja, iaitu: "Antara (tanda) kebaikan Islam seseorang adalah dia meninggalkan apa yang tidak bermanfaat baginya". Maksudnya merangkumi meninggalkan segala yang tidak bermanfaat atau tidak berkaitan, sama ada dari segi perkataan, pandangan, pendengaran, perbuatan, berjalan, pemikiran dan semua gerakan zahir mahupun batin. Inilah satu ungkapan yang lengkap dalam menerangkan sifat wara’.

Ibnu Rajab berkata: Hadis ini merupakan salah satu asas daripada asas-asas adab.

Ini mendorong kepada menuntut ilmu, kerana dengan ilmu manusia dapat membezakan antara perkara yang bermanfaat baginya dan yang tidak bermanfaat.

Perintah untuk berbuat kebaikan, larangan daripada kemungkaran, dan memberi nasihat termasuk perkara yang memberi manfaat kepada seseorang, kerana ia diperintahkan kepadanya.

Termasuk dalam maksud umum hadis ini ialah menjauhi perkara yang tidak memberi manfaat kepada seseorang, sama ada yang diharamkan oleh Allah ﷻ atau yang dibenci oleh Nabi ﷺ, begitu juga perkara yang tidak diperlukan berkaitan (membincangkan) urusan akhirat, seperti hakikat ghaib, perincian hukum dalam urusan penciptaan makhluk dan urusan pemerintahan, juga seperti menyoal dan mengkaji tentang persoalan perkara yang ditetapkan, dan yang diandaikan tetapi belum berlaku, hampir tidak berlaku, atau mustahil berlaku.