“Sesungguhnya antara perkara yang manusia perolehi daripada kata-kata nabi terdahulu ialah: “Jika engkau tidak malu, buatlah apa sahaja yang engkau mahu.”

“Sesungguhnya antara perkara yang manusia perolehi daripada kata-kata nabi terdahulu ialah: “Jika engkau tidak malu, buatlah apa sahaja yang engkau mahu.”

Daripada Abu Mas‘ud رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Sesungguhnya antara perkara yang manusia perolehi daripada kata-kata nabi terdahulu ialah: “Jika engkau tidak malu, buatlah apa sahaja yang engkau mahu.”

الشرح

Nabi صلى الله عليه وسلم memberitahu bahawa antara kata-kata yang sampai sebagai wasiat daripada para nabi terdahulu, yang berleluasa penggunaannya dalam kalangan manusia dan diwarisi sejak turun-temurun, sehingga sampai kepada generasi awal umat ini ialah: Perhatikan apa yang kamu ingin lakukan; jika ia sesuatu yang tidak memalukan, maka lakukanlah, tetapi jika ia sesuatu yang memalukan, maka tinggalkannya. Sesungguhnya penghalang daripada melakukan perkara keji ialah sifat malu. Maka sesiapa yang tidak memiliki rasa malu, dia akan terjerumus dalam segala bentuk kejahatan dan kemungkaran.

فوائد الحديث

Malu adalah asas kepada akhlak yang mulia.

Malu adalah satu sifat daripada sifat para nabi عليهم السلام, dan ia termasuk perkara yang diwarisi daripada mereka.

Malu ialah sifat yang mendorong seorang Muslim melakukan perkara yang memperelok dan menghiasinya, serta meninggalkan perkara yang mengotorkan dan mencemarkan dirinya.

Al-Nawawi berkata: Perintah dalam hadis ini adalah dalam bentuk keharusan (ibahah), iaitu: jika engkau ingin melakukan sesuatu, maka jika perkara itu adalah sesuatu yang engkau tidak malu melakukannya di hadapan Allah dan manusia, maka lakukanlah. Jika tidak, maka jangan. Atas dasar ini, Islam dibina.

Penjelasannya ialah: Amar (perintah) berupa wajib atau mandub (digalakkan) adalah perkara yang dirasakan malu untuk ditinggalkan. Manakala nahi (larangan) berupa haram atau makruh adalah perkara yang dirasakan malu untuk dilakukan. Adapun perkara harus, rasa malu itu boleh jadi pada melakukannya atau meninggalkannya. Maka hadis ini merangkumi lima hukum syarak.

Dikatakan juga bahawa ia adalah perintah berupa ancaman, maksudnya: apabila sifat malu telah tercabut daripadamu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu; sesungguhnya Allah pasti akan membalasmu atas perbuatan itu. Ada juga yang berkata: ia adalah perintah yang bermaksud khabar iaitu sesiapa yang tidak memiliki sifat malu, dia akan melakukan apa sahaja yang dia kehendaki.