“Wahai anak Adam, selama engkau memohon kepada-Ku dan berharap kepada-Ku maka Aku akan mengampuni segala yang telah terjadi padamu, dan Aku tidak peduli

“Wahai anak Adam, selama engkau memohon kepada-Ku dan berharap kepada-Ku maka Aku akan mengampuni segala yang telah terjadi padamu, dan Aku tidak peduli

Daripada Anas bin Malik رضي الله عنه, beliau berkata: Saya mendengar Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Allah, Yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi, berfirman: “Wahai anak Adam, selama engkau memohon kepada-Ku dan berharap kepada-Ku maka Aku akan mengampuni segala yang telah terjadi padamu, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu mencapai langit kemudian engkau memohon keampunan kepada-Ku maka Aku pasti mengampunkanmu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, sekiranya engkau datang kepada-Ku membawa kesalahan sebanyak bekas bumi, kemudian engkau menemui-Ku tanpa mempersekutukan sesuatu pun dengan-Ku, nescaya Aku akan datang kepadamu dengan pengampunan sebanyak itu.”

الشرح

Rasulullah صلى الله عليه وسلم memberitahu bahawa Allah Ta‘ala berfirman dalam hadis Qudsi: “Wahai anak Adam, selagi engkau memohon kepada-Ku dan mengharapkan rahmat-Ku serta tidak berputus asa maka Aku menutupi dosa-dosamu dan menghapusnya tanpa mempedulikannya; walaupun dosa dan maksiat itu termasuk dosa-dosa besar.” Wahai anak Adam, sekiranya dosamu bertimbun hingga memenuhi di antara langit dan bumi sehingga menutupi segala penjuru dan meliputi seluruh sudutnya, kemudian engkau memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku hapus dan mengampunkan segala dosamu itu tanpa mempedulikan banyaknya dosa itu. Wahai anak Adam, seandainya engkau datang kepada-Ku selepas mati dengan membawa dosa dan maksiat sebanyak isi bumi, dan engkau mati dalam keadaan tauhid tanpa mempersekutukan sesuatu pun dengan-Ku, nescaya Aku akan menerima dosa dan maksiat itu sebanyak isi bumi sebagai pengampunan kerana sesungguhnya Aku Maha Luas dalam memberi ampunan, dan Aku mengampuni semua dosa kecuali syirik.

فوائد الحديث

Luasnya rahmat, pengampunan dan pemberian Allah Ta‘ala.

Keutamaan bertauhid dan bahawa Allah mengampuni dosa-dosa dan maksiat golongan yang mengesakan-Nya.

Bahaya syirik, dan bahawa Allah tidak mengampuni orang yang mempersekutukan-Nya.

Ibn Rajab berkata: “Hadis ini merangkumi tiga sebab yang membawa kepada pengampunan dosa: Pertama: Doa disertai harapan. Kedua: Memohon ampun dan taubat. Ketiga: Mati dalam keadaan bertauhid.”

Hadis ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم daripada Tuhannya, dan dikenali sebagai hadis Qudsi atau Ilahi. Lafaz dan maknanya datang daripada Allah, namun ia tidak memiliki sifat-sifat khusus al-Quran yang membezakannya daripada selainnya, sepertimembacanya dianggap sebagai ibadah, memerlukan kesucian, bersifat mencabar dan mempunyai keajaiban serta lain-lain.

Dosa dibahagikan kepada tiga jenis:

Pertama: Syirik kepada Allah dan ini tidak akan diampuni oleh Allah. Allah Ta‘ala berfirman: {Sesungguhnya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka Allah mengharamkan syurga baginya}.

Kedua: Menzalimi diri sendiri dalam perkara antara dirinya dengan Tuhannya melalui dosa dan maksiat. Allah Ta‘ala mengampuni dan mengabaikannya jika Dia menghendaki.

Ketiga: Dosa yang Allah tidak biarkan dengan tanpa sebarang hukuman, iaitu menzalimi sesama manusia; (bagi dosa ini) hukuman pembalasan (qisas) mesti dilakukan.