“Kebaikan itu ialah akhlak yang baik, dan dosa ialah sesuatu yang terdetik dalam hatimu dan engkau tidak suka jika ia diketahui oleh manusia.”

“Kebaikan itu ialah akhlak yang baik, dan dosa ialah sesuatu yang terdetik dalam hatimu dan engkau tidak suka jika ia diketahui oleh manusia.”

Daripada al-Nawwās bin Samʿān al-Anṣārī رضي الله عنه, beliau berkata: Aku bertanya Rasulullah صلى الله عليه وسلم tentang kebaikan dan dosa, lalu Baginda bersabda: “Kebaikan itu ialah akhlak yang baik, dan dosa ialah sesuatu yang terdetik dalam hatimu dan engkau tidak suka jika ia diketahui oleh manusia.”

الشرح

Nabi صلى الله عليه وسلم ditanya tentang kebaikan dan kejahatan, lalu Baginda bersabda: Sifat kebaikan yang paling agung ialah berakhlak mulia dengan Allah melalui takwa dan dengan makhluk melalui kesabaran menanggung gangguan, kurang marah, wajah yang ceria, tutur kata yang baik, menjalin hubungan silaturahim, ketaatan, kelembutan, kebaikan, serta berakhlak baik dalam pergaulan dan persahabatan. Adapun kejahatan itu ialah sesuatu yang timbul dalam jiwa daripada perkara-perkara yang meragukan dan berulang-ulang (dalam fikiran) tanpa hati merasa tenang terhadapnya, lalu timbul keraguan dalam hati serta rasa takut bahawa ia merupakan satu dosa. Seseorang juga tidak mahu perkara itu diketahui orang ramai kerana ia dianggap buruk di sisi orang-orang yang terhormat, mulia dan sempurna akalnya. Hal ini kerana fitrah jiwa itu suka jika orang mengetahui kebaikannya. Maka apabila dia membenci untuk sesuatu perbuatannya diketahui orang, itu adalah dosa yang tiada kebaikan padanya.

فوائد الحديث

Galakan untuk berakhlak mulia, kerana akhlak yang baik merupakan salah satu sifat kebaikan yang paling agung.

Kebenaran dan kebatilan tidak akan bercampur-aduk urusannya kepada seorang mukmin, bahkan dia mengenali kebenaran dengan cahaya yang wujud dalam hatinya, dan menjauhkan diri daripada kebatilan lalu mengingkarinya.

Antara tanda-tanda dosa ialah kegelisahan dan keresahan hati, serta ketidaksukaan untuk ia diketahui oleh orang ramai.

Al-Sindi berkata: “Perkara ini merujuk kepada perkara-perkara yang meragukan, iaitu yang manusia tidak mengetahui penentuan salah satu daripada dua pihak padanya. Adapun perkara yang diperintahkan dalam syariat tanpa adanya dalil yang menunjukkan sebaliknya, maka ia termasuk dalam kebaikan dan perkara yang dilarang pula termasuk dalam dosa. Maka tidak perlu merujuk kepada fatwa hati dan ketenangannya dalam kedua-dua hal tersebut.”

Sasaran yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah orang-orang yang memiliki fitrah yang suci, bukan orang-orang yang hatinya tersasar, yang tidak mengenal kebaikan dan tidak mengingkari kemungkaran melainkan apa yang telah dipengaruhi oleh hawa nafsunya.

Al-Ṭībī berkata: “Dikatakan bahawa kebaikan yang disebut dalam hadis ini ditafsirkan dengan pelbagai makna. Ia ditafsirkan di satu tempat sebagai sesuatu yang menenangkan jiwa dan menenangkan hati, di tempat lain sebagai iman, di tempat lain pula sebagai sesuatu yang mendekatkan dirimu kepada Allah dan di sini ia ditafsirkan sebagai akhlak yang baik. Akhlak yang baik pula ditafsirkan sebagai kesabaran menanggung gangguan, kurang marah, wajah yang ceria, dan tutur kata yang baik. Semua tafsiran ini berdekatan dari segi makna.”